24 Apr 2012

Tazkirah: Antara maksud dan keperluan hidup



“Bunyi apa tu?”

Begitulah pertanyaan seorang jemaah surau sebaik sahaja kami selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah pada 15 Ramadhan yang lalu di surau berhadapan rumah saya.

“Bunyi lori sampah tu”, jawab saya.

Saya menjengah ke tingkap surau tersebut untuk mendapatkan kepastian. Benar sekali tekaan saya! Lori sampah datang memungut sampah pada waktu Maghrib. Persoalan yang bermain di fikiran saya adalah bagaimana solat magrib mereka? Bagaimana puasa mereka?

(Gambar hiasan)

Kebanyakan pekerja tersebut adalah Bangladesh yang beragama Islam. Sebelum bulan Ramadhan, jadual memungut sampah adalah pada waktu siang iaitu sebelah pagi hingga tengahari, setiap Isnin dan Rabu manakala pada hari Jumaat pula pada awal pagi iaitu sebelum Subuh (sekitar jam 4-5 pagi). Saya katakan mereka Islam kerana ada sebahagian daripada mereka yang memberi salam kepada saya ketika mengutip sampah di hadapan rumah saya, kebetulan saya berada di depan rumah.

Mengapa mereka mengutip sampah pada waktu Maghrib semasa bulan Ramadhan? Itu antara persoalan yang perlu saya fikirkan jawapannya. Mungkin jika mereka memungut sampah pada waktu siang akan mengganggu puasa mereka. Mereka lebih penat dan dahaga. Itu jawapan yang sempat saya fikirkan daripada soalan yang saya sendiri ciptakan.

Pada saya jawapan itu semacam kurang tepat. Ini kerana, mereka ada masa yang lagi sesuai untuk melakukan kerja tersebut iaitu mungkin pada waktu malam selepas tarawikh dan bukannya semasa orang sedang berbuka atau semasa orang lain sedang menunaikan solat fardhu Maghrib. Lagipun tempoh waktu untuk menunaikan solat Maghrib begitu singkat. Dengan erti kata lain, mereka akan kesuntukana masa untuk menunaikan solat Maghrib!

Adakah majikan mereka Muslim? Andainya majikan mereka Muslim sudah tentu majikan mereka tidak prihatin dan sensitif pada amalan agama pekerja meraka. Majikan mereka sepatutnya merasa malu untuk mengaku Islam!

Inilah nasib malang yang menimpa ummat Islam hari ini apabila mereka tidak dapat membezakan di antara maksud hidup dan keperluan hidup. ‘Kerja’ di dunia ini atau dengan erti kata lain mencari nafkah sebenarnya adalah keperluan untuk hidup di dunia atau keperluan untuk survival hidup di dunia ini. Tetapi malangnya mereka tidak faham apakah maksud mereka hidup di dunia ini! Apakah tujuan mereka dijadikan oleh Allah swt?

Firman Allah swt :


Maksudnya :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surat Adh-Dhariyat, Ayat 56)

Adakah mereka dijadikan Allah untuk kerja semata-mata dengan mengorbankan solat dan puasa mereka. Sungguh malang apabila kita sanggup mengejar cebisan daripada nikmat Allah di dunia ini dengan mengorbankan nikmat Allah yang tiada penghujungnya di akhirat kelak. Adalah satu kebodohan yang nyata apabila kita sanggup menukarkan permata yang berharga dengan batu kelikil di tepi jalan. Kita jahil dalam membezakan di antara batu dan permata.

Sungguh malang juga apabila kita sanggup mengejar nikmat yang berbentuk sementara dengan nikmat yang berbentuk kekal abadi. Nikmat di dunia ini adalah bersifat sementara manakala nikmat di akhirat kelak pula adalah bersifat kekal. Jika ada seseorang memberi pilihan kepada kita sama ada ingin meminjam duit daripadanya sebanyak RM5000 atau mendapatnya kita secara percuma. Adakah kita ingin memilih untuk meminjam daripada mendapatnya secara percuma tanpa perlu meminjam? Tentunnya kita pilih untuk mendapatkannya secara percuma kerana ianya akan menjadi milik kita secara kekal berbanding dengan duit yang dipinjam yang mana pemimjam tersebut mempunyai tanggungjawab untuk memulangkannya semula atau membayar balik pinjaman tersebut dalam masa tersebut.

Kejahilan mereka sebenarnya mencerminkan kegagalan kita sebagai saudara seagama yang tidak memperingatkan dan meyedarkan mereka tentang penting amalan agama dalam kehidupan mereka. Kita membiarkan mereka terus ditipu oleh syaitan dan hawa nafsu mereka! Zalimkah kita?

Fazakir!

Dengan menjaga solat, kita akan mendapat lima ganjaran iaitu : -

1-      keberkatan rezeki di dunia ini
2-     diangkat seksaan kubur
3-     menerima buku catatan amal dengan tangan kanan
4-     dapat meniti titian sirat sepantas kilat
5-     dapat masuk ke syurga tanpa hisab

Justeru itu, untuk mendapat keberkatan rezeki, marilah kita jaga solat kita. Iaitu dengan menunaikan solat di awal waktu dan secara berjemaah di masjid. Segala keperluan hidup kita akan dibereskan oleh Allah swt apabila kita menunaikan maksud hidup kita di dunia ini, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah swt.

Jangan sekali-kali kerana kerja, kita tinggal solat! Ingat letakkan solat di tempat utama. Jangan berkrompromi dengan majikan yang tidak membenarkan solat semasa bekerja atau majikan yang tidak menghiraukan waktu solat pekerja mereka.

Semoga Allah swt memberi taufik dan hidayat kepada saya, majikan dan pekerja tersebut. Amin.

Catatan oleh: Che Wan Shamsul Bahri Che Wan Ahmad
Beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam pembanngunan m-Mathurat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

- Ads by Google -